wawancara wasilah

Oktober 30, 2008 in PAS, haraki, istizkariyyah, melayu, muzakarah, politik, sosial, syura | 7 comments

Salam Kamunting,

Saya malas diwawancara. Sejak lama, setiap kali orang press truth about enzyte datang minta, saya buat alasan. Paling mudah saya jawab, tanya ayahlah. Jawaban dia kira jawaban saya juga. Saya banyak mengecewakan mereka walaupun saya kecewa mengecewakan mereka. Susah..

Tapi baru - baru ni, entah ayat apa dia baca, budak Wasilah tu berjaya merempuh dinding yang saya bina. Saya terima untuk diwawancara. Bila soalan datang, saya jawab dan susah nak tapis - tapis lagi. Apa yang saya tak nak tulis dalam blog ni, akhirnya tersembul keluar dalam perangkap soalan itu. Tapi, bukan ada bahaya apa pun. Cuma saya hanya mahu orang dengar daripada saya sahaja, buka baca.

Bila saya baca, saya senyum seorang diri. Huh, nak kena belajar diwawancara pula..

Saya rasa isi jawaban itu bagus untuk anda tahu isi hati saya. Jadi, seluk kocek, RM2.50 untuk beli akhbar Mingguan Wasilah terbaru ( 2-8 Nov 2008 ). Selamat membaca.
siapa pengganti ayahanda?

Oktober 28, 2008 in PAS, haraki, muzakarah, politik, syura, tarbiyyah | 24 comments

Salam Kamunting,

Sudah bertahun - tahun soalan ini ditanya, kemudian dibangkitkan dan diungkitkan kembali kepada saya, juga kepada sesiapa saja. Hari ini soalan ini masih laku, relevan dan dinanti - nanti jawaban penyudahnya, walaupun dah berlonggok - longgok jawaban diberikan oleh saya, juga oleh semua yang ditanya.

Manusia itu suka sangat mengetahui apa yang mereka tak tahu. Kekadang sampai memaksa - maksa pula untuk mengetahui perihal masa depan, sedangkan dalam akidah mereka sebagai seorang yang beriman, tiadalah yang mengetahui yang di depan selain Allah jua.

Saya agak, kerana suasana memaksa - maksa dengan soalan ‘bila? bila?’ inilah Datuk Sri Anwar Ibrahim memacak tarikh 16 September sebagai hari pembukaan Kota ’Makkah’ Putra Jaya dengan pasti. Mesti berlaku. On track!

Jadinya, ramai manusia bergembira dengan penuh girang kerana mereka telah mengetahui masa depan secara pasti. Bila saya tanya, “Pastikah atau DSAI hanya memacak strategi?” Ahli parlimen itu dengan serius menjawab, “Dia kata pasti!”

Saya terlopong. Di mana ‘insya Allah’ ? Dulu saya tulis, demokrasi Malaysia adalah demokrasi Pak Nujum. Rakyat dipaksa berteka - teki tarikh pilihan raya. Hari ini apa harus saya kata. Pembukaan 16 September yang pasti. Dah tak perlu bernujum lagi. Bolehkah saya namakan ini sebagai ‘politik Ayah Pin’?

Ketahuilah olehmu wahai rakyat Malaysia, DSAI telah berkata dengan hatinya, ‘insya Allah’! Hanya kamu yang bodoh sangat sampai terlupa berkata, ‘insya Allah’. Baguslah hikmat Allah menidakkan tarikh itu. Bagus untuk kamu dalam menjaga agama kamu bahawa masa depan itu milik Allah dan bahawa kemenangan Islam itu pasti tiba dalam jadualNya yang terpacak semenjak azali.

Berjuanglah dalam iman yang teguh bahawa kegelojohan itu bukan daripada disiplin dan hati budi seorang pejuang Islam. Berpautlah pada janji Allah yang lebih dekat, tenang dan pasti, bukan pada janji manusia yang jauh dan pasti mengecewakan kamu. Tidakkah Allah berkata, ” Bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”

Bukankah subuh itu tiap - tiap hari? 16 September itu setahun sekali. Mana lebih dekat? Maha suci Allah daripada sebarang kekurangan..

Ayuh, mari pula bersama saya berteka - teki pasal masa depan, tetapi dalam irama, rentak dan lagu yang meneguh akidah, menambah ilmu dan menagih harapan daripada kurniaNya. Saya pernah meminta izin ayahanda untuk menulis dan menjawab cara saya. Ayahanda jawab, tulislah!

Ia bukan soalan, bila ayahanda akan berhenti? Tetapi siapakah penggantinya ‘nanti’?

Anda mahu tahu juga bila? Saya jawab, ayahanda pun belum pasti bila. Masakan pula saya tahu. Masakan pula orang lain lebih tahu. Tidakkah ayahanda telah menyebut berkali - kali untuk berhenti, tetapi hanya Allah yang tahu masanya. Allah tuhan pemilik segala hikmat di sebalik kejadian di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah di langit adalah tuhan dan di bumi adalah tuhan.

Adapun siapa penggantinya, saya berkata:

Dalam struktur parti, penggantinya sebagai Pesuruh Jaya atau Menteri Besar adalah Presiden PAS dengan persetujuan Jawatan Kuasa PAS Pusat dan perkenan Majlis Syura. Begitulah ayahanda semasa dilantik sebagai MB 18 tahun dulu dan sebagai Pesuruh Jaya PAS Kelantan 10 tahun sebelum itu lagi.

Begitu ayahanda, begitulah MB Kedah dan MB Perak. Bukan PAS negeri masing - masing yang memuktamadkan. Hak mereka adalah mencadangkan.

Adapun pengganti ayahanda sebagai ulama besar, maka ia adalah ulama juga. Ulama adalah pewaris nabi. Apabila ulama pergi dan Allah menghendaki kebaikan untuk hambaNya di bumi, maka digantikannnya dengan ulama juga. Apabila Allah tidak menghendaki sedemikian, maka digantikannya dengan yang bukan jenis ulama yang tiada taqwa dan teladan untuk ummah. Maka kehidupan ummah menjadi bertambah parah dan menuju kemunduran di dalam iman dan kehidupan. Wal ‘iyazu BiLlah.

Semoga Allah membekali kita dengan ulama yang lebih baik dan lebih alim. Semoga Allah menyelubungi kita rakyat Malaysia dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya yang tak terperi agungnya.

Adapun pengganti ayahanda sebagai MB, Pesuruh Jaya dan ulama dari kaca mata tuntutan politik semasa, atau siasah syar’iyyah, atau siasah harakiyyah, maka mari kita panjangkan perbincangannya. Ia kelihatan sukar. Allahlah memudahkan segala kesukaran buat hambaNya. Justeru bersegeralah kepada Allah demi memperolehi kemudahan.

Menjadi pemimpin dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia menuju akhirat. Sebaik - baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai kecintaan rakyatnya. Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat taqwa yang mengepalai sifat - sifat mulia menuju akhirat.

Oleh kerana ayahanda diterima rakyat Malaysia amnya, dan rakyat Kelantan khususnya sebagai pemimpin akhirat mereka, maka sebaik - baik pengganti adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan pimpinan PAS.

Siapa? Taqwa itu di dada. Allah pasti mengilhamkannya ke dalam hati - hati hambaNya yang beriman, khususnya para ulama syura yang akan merestukan. Adakah anda seorang yan ragu - ragu dengan syura?

Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia untuk mencintai kebaikan dan kebaktian di dunia. Dunia adalah ladang akhirat. Sebaik - baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadi pendorong dan contoh terbaik manusia untuk berlumba - lumba mengejar kebajikan dan kebaktian.

Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat amanah. Amanah adalah kemuncak sifat mulia manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia yang penuh pancaroba dan tipu daya.

Oleh kerana ayahanda diterima seluruh rakyat sebagai lambang pemimpin